Friday, May 30, 2008

Kenaikan petrol 40 sen tak bebankan rakyat

Betulkah kenaikan petrol 40 sen tak bebankan rakyat?..Ayuh kita bincang-bincang isu ini, saya 'paste' kan disini keratan berita harian. Anda baca dan berikan cadangan, kritikan dan pendapat anda yang bernas... walau ehh

Kenaikan petrol 40 sen tak bebankan rakyat
Oleh Kamarulzaidi Kamis

KENAIKAN harga petrol sehingga 40 sen dijangka tidak terlalu membebankan rakyat dan memberi kesan buruk ketara terhadap ekonomi Malaysia berikutan jangkaan peningkatan inflasi yang masih terkawal.

Ketua Jabatan Ekonomi, London School of Economics and Political Science (LSE), Prof Danny Quah, berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa mereka terpaksa berdepan kenaikan harga petrol dan diesel berikutan harga minyak global akan kekal tinggi.

"Apabila minyak dijangka kekal atas paras AS$100 satu tong, tidak ada jalan lain, selain memansuhkan subsidi kerana kerajaan terpaksa memperuntukkan sehingga RM56 bilion berdasarkan harganya yang ketika ini melebihi AS$130 satu tong.

"Sistem subsidi petrol (dan diesel) yang diamalkan sekarang lebih kepada `menguntungkan golongan kaya'," katanya pada syarahan awam mengenai "Kenaikan dan Kejatuhan Subsidi di Malaysia" di Kuala Lumpur, semalam.

Quah menambah, semakan semula subsidi petrol wajar dilakukan secara berperingkat, misalnya 15 hingga 20 peratus iaitu kira-kira 30 sen hingga 40 sen seliter bagi tempoh enam bulan pertama dan seterusnya.

Katanya, apabila subsidi dikurangkan, sudah tentu memberi kesan terhadap kenaikan harga barangan, justeru kerajaan harus mencari kaedah terbaik bagi menyalurkan penjimatan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah, sama ada secara memberikan pampasan secara terus dan sebagainya.

"Kaedah mengenali pasti golongan berpendapatan rendah yang layak adalah amat penting dalam memastikan golongan itu tidak dibebani dengan kenaikan barangan keperluan, termasuk harga barangan makanan dan sebagainya," katanya.

Quah berkata, pemansuhan subsidi tidak akan menggugat pertumbuhan ekonomi, malah ia merangsang ekonomi daripada segi menjana produktiviti dan mendisiplinkan pengguna.

"Mengambil contoh China yang suatu ketika dulu adalah sebuah negara miskin dan bangun menjadi kuasa ekonomi global tanpa subsidi minyak.

"Sebenarnya Malaysia berada dalam kedudukan lebih baik berbanding China, jika mahu melaksanakan proses transformasi ekonomi," katanya.

Pakar Ekonomi CIMB Investment Bank, Lee Heng Guie, berkata tanggungan subsidi yang besar oleh kerajaan akan menyekat pembangunan sosial dan menyebabkan negara terpaksa terus menanggung beban defisit fiskal yang besar.

"Jika dilihat pada aliran harga (minyak mentah global) semasa sudah tidak ada harapan untuk melihat ia susut semula bawah paras AS$50 satu tong, justeru semakan semula subsidi petrol adalah wajar dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang penstrukturan subsidi harus dibuat secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan kehidupan rakyat secara keterlaluan.

"Sekiranya subsidi disemak semula, ia juga harus mengambil kira beban ditanggung rakyat ekoran kenaikan harga komoditi makanan," katanya.

Harga minyak global meneruskan aliran meningkatnya semalam berikutan kebimbangan kekurangan bekalan dan spekulasi berterusan kelemahan dolar Amerika Syarikat yang dianggap sebagai mata wang rizab global.

Kontrak hadapan minyak mentah bermutu tinggi, 'Light, Sweet' bagi penghantaran Julai meningkat 75 sen atau AS$132.94 satu tong dalam dagangan elektronik New York Mercantile Exchange (Nymex) di Asia petang semalam.

Kontrak itu melonjak ke paras rekod AS$135.09 pada 22 Mei lalu sejajar penyusutan terbesar dolar AS berbanding euro dan yen Jepun sejak Mac lalu.


No comments: