Wednesday, February 21, 2007

1,600 terselamat muflis

berikut petikan daripada Berita Harian...

(BERITA HARIAN 21 FEB 2007 – MUKA DEPAN)Oleh Norliza Wasilan

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bantu urus hutang RM120j

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,600 individu yang dibebani hutang berjumlah RM120 juta berjaya diselamatkan daripada diisytihar muflis menerusi penstrukturan semula pinjaman yang diatur sebuah badan kerajaan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Individu terbabit adalah antara 14,193 peminjam kad kredit, kenderaan, perumahan dan pinjaman peribadi, yang mendaftar bagi mendapatkan nasihat dan khidmat AKPK sejak agensi itu ditubuhkan Bank Negara Malaysia (BNM), 17 April tahun lalu.

Malah, perangkaan BNM menunjukkan kes muflis berkurangan kepada 13,535 tahun lalu, menurun hampir 10 peratus berbanding 15,000 pada 2005.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AKPK, Mohamed Akwal Sultan (gambar), berkata pengurangan kes muflis itu antara lain disebabkan faktor ekonomi yang semakin baik dan kempen berterusan kerajaan menyedarkan orang ramai untuk menguruskan kewangan secara bijak.

"Penstrukturan bayaran pinjaman yang dikendalikan AKPK, turut menyumbang kepada penurunan angka itu."

Kami bertindak sebagai pengantara antara peminjam dan bank bagi membantu menguruskan kewangan peminjam," katanya kepada Berita Harian.

AKPK yang ditubuhkan bagi menangani peningkatan kes muflis dan hutang tidak berbayar, menyediakan khidmat penstrukturan semula pinjaman dan kaunseling secara percuma kepada orang ramai supaya dapat menguruskan kewangan secara bijak. Bagaimanapun, AKPK tidak menyediakan kemudahan pinjaman.

Mohamed Akwal menasihatkan peminjam yang menghadapi kesulitan membayar hutang supaya mendapatkan segera bantuan AKPK sebelum dikenakan tindakan oleh institusi kewangan.

"Langkah segera peminjam berjumpa kami dapat mengelakkan mereka berhadapan masalah lebih rumit. Sekiranya peminjam diisytihar muflis, AKPK tidak dapat membantu," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan kaunseling boleh berurusan di lima cawangan AKPK di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu yang masing-masing beroperasi di cawangan BNM manakala Kuala Lumpur di Maju Junction.

Mohamed Akwal berkata, AKPK menggariskan tiga mekanisma terbaik dalam membantu golongan berkenaan bebas daripada belenggu hutang.

Ini meliputi menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman melalui rundingan dengan bank, khidmat pendidikan kewangan membabitkan penggunaan kredit secara bijak dan kemahiran asas pengurusan wang.

"AKPK akan membantu peminjam berunding dengan penyedia perkhidmatan kewangan apabila rundingan mereka bersama pihak bank menemui jalan buntu. Kami boleh membantu peminjam mendapatkan lanjutan tempoh pembayaran balik sehingga 15 tahun.

"Setakat ini cadangan yang dikemukakan AKPK kepada bank bagi pihak peminjam, menerima maklum balas positif."

Ini kerana AKPK mengambil tindakan susulan bagi memastikan peminjam terbabit membayar ansuran yang dipersetujui dengan bank atau membuat penilaian semula jika mereka menghadapi masalah membuat bayaran," katanya.

No comments: