KUALA LUMPUR 21 Dis. – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2006 sebanyak 7.30 sen seunit berserta bonus sebanyak 1.25 sen.
Pengiraan agihan pendapatan ini adalah berdasarkan baki purata minimum bulanan bagi pelaburan sepanjang tahun kewangan 2006 dan bonus pula mengikut baki pegangan minimum bulanan untuk 10 tahun daripada tahun 1997 hingga 2006, katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan ASB di ibu pejabat PNB di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
‘‘Mulai 1 Januari ini, umur penjaga berdaftar bagi akaun remaja dipinda daripada 21 tahun ke atas, kepada 18 tahun untuk meningkatkan penyertaan pelabur baru terutamanya remaja,’’ kata Ahmad Sarji lagi.
“Kami memang boleh bayar lebih tetapi perlu ingat ASB adalah tabung jangka panjang dan memerlukan pengurusan strategi jangka panjang untuk dapat pulangan kompetitif.
“Pulangan yang diberikan oleh ASB sebenarnya adalah kompetitif jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang mempunyai ciri-ciri hampir serupa dengan dana tersebut,” jelasnya.
Hamad Kama Piah menambah, langkah berkenaan juga membolehkan PNB mempunyai baki lebihan sebanyak RM800 juta yang digunakan sebagai persiapan masa depan untuk memastikan para pelabur tidak rugi dalam jangka panjang.
Sehingga 15 Disember lalu, ASB telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM3.886 bilion, naik sebanyak RM442 juta berbanding RM3.444 bilion pada tahun lalu.
Pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang RM1.778 bilion kepada jumlah pendapatan kasar manakala keuntungan daripada penjualan pelaburan pula sebanyak RM1.881 bilion dan baki sebanyak RM227 juta melalui pendapatan pelaburan instrumen jangka pendek.
Di antara sektor-sektor pelaburan utama ASB pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2006 adalah kewangan (41.5 peratus), perkhidmatan dan perdagangan (30.59 peratus), perladangan (6.99 peratus), barangan pengguna (6.48 peratus) serta lain-lain sektor (14.44 peratus).
Sebelum itu, Ahmad Sarji berkata, pembayaran agihan pendapatan dan bonus ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelabur dan pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan di pejabat Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) atau ejen ASNB mulai 3 Januari ini.
Katanya, penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan pula akan dihantar pada hujung bulan Februari.
“Bagi memastikan penerimaan dokumen-dokumen tersebut, para pemegang unit dinasihatkan supaya menyemak dan mengemaskini alamat masing- masing di pejabat-pejabat ASNB dan ejen-ejen ASNB yang berhampiran,” kata Ahmad Sarji.
Katanya, semua urus niaga ASB akan digantung mulai 18 Disember hingga 2 Januari bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus.

No comments:
Post a Comment