berikut petikan daripada Berita Harian...
(BERITA HARIAN 21 FEB 2007 – MUKA DEPAN)Oleh Norliza Wasilan
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bantu urus hutang RM120j
KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,600 individu yang dibebani hutang berjumlah RM120 juta berjaya diselamatkan daripada diisytihar muflis menerusi penstrukturan semula pinjaman yang diatur sebuah badan kerajaan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Individu terbabit adalah antara 14,193 peminjam kad kredit, kenderaan, perumahan dan pinjaman peribadi, yang mendaftar bagi mendapatkan nasihat dan khidmat AKPK sejak agensi itu ditubuhkan Bank Negara Malaysia (BNM), 17 April tahun lalu.
Malah, perangkaan BNM menunjukkan kes muflis berkurangan kepada 13,535 tahun lalu, menurun hampir 10 peratus berbanding 15,000 pada 2005.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AKPK, Mohamed Akwal Sultan (gambar), berkata pengurangan kes muflis itu antara lain disebabkan faktor ekonomi yang semakin baik dan kempen berterusan kerajaan menyedarkan orang ramai untuk menguruskan kewangan secara bijak.
"Penstrukturan bayaran pinjaman yang dikendalikan AKPK, turut menyumbang kepada penurunan angka itu."
Kami bertindak sebagai pengantara antara peminjam dan bank bagi membantu menguruskan kewangan peminjam," katanya kepada Berita Harian.
AKPK yang ditubuhkan bagi menangani peningkatan kes muflis dan hutang tidak berbayar, menyediakan khidmat penstrukturan semula pinjaman dan kaunseling secara percuma kepada orang ramai supaya dapat menguruskan kewangan secara bijak. Bagaimanapun, AKPK tidak menyediakan kemudahan pinjaman.
Mohamed Akwal menasihatkan peminjam yang menghadapi kesulitan membayar hutang supaya mendapatkan segera bantuan AKPK sebelum dikenakan tindakan oleh institusi kewangan.
"Langkah segera peminjam berjumpa kami dapat mengelakkan mereka berhadapan masalah lebih rumit. Sekiranya peminjam diisytihar muflis, AKPK tidak dapat membantu," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan kaunseling boleh berurusan di lima cawangan AKPK di Kuala Terengganu, Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu yang masing-masing beroperasi di cawangan BNM manakala Kuala Lumpur di Maju Junction.
Mohamed Akwal berkata, AKPK menggariskan tiga mekanisma terbaik dalam membantu golongan berkenaan bebas daripada belenggu hutang.
Ini meliputi menyediakan pelan pembayaran semula pinjaman melalui rundingan dengan bank, khidmat pendidikan kewangan membabitkan penggunaan kredit secara bijak dan kemahiran asas pengurusan wang.
"AKPK akan membantu peminjam berunding dengan penyedia perkhidmatan kewangan apabila rundingan mereka bersama pihak bank menemui jalan buntu. Kami boleh membantu peminjam mendapatkan lanjutan tempoh pembayaran balik sehingga 15 tahun.
"Setakat ini cadangan yang dikemukakan AKPK kepada bank bagi pihak peminjam, menerima maklum balas positif."
Ini kerana AKPK mengambil tindakan susulan bagi memastikan peminjam terbabit membayar ansuran yang dipersetujui dengan bank atau membuat penilaian semula jika mereka menghadapi masalah membuat bayaran," katanya.
Wednesday, February 21, 2007
| [+/-] |
1,600 terselamat muflis |
Sunday, January 21, 2007
| [+/-] |
Hutang Boleh di atasi dengan perancangan kewangan |
MASALAH HUTANG BOLEH DIATASI DENGAN PERANCANGAN KEWANGAN
Oleh : Aziz Ibrahim CFP (Utusan Malaysia)
Persoalannya di sini adalah apakah terdapat jalan penyelesaiannya? Jawapannya sudah tentu ada. Terdapat dua cara mengatasi masalah ini. Satu adalah menerusi penyelesaian mikro manakala cara lainnya adalah berbentuk makro iaitu dengan kerjasama kerajaan. Bagaimanapun pada kali ini penyelesaian secara mikro iaitu penglibatan individu-individu yang di dalam kategori ”masalah” sahaja yang akan diketengahkan. Sekiranya terdapat minat untuk mencari penyelesaian makro, perkara ini boleh diterangkan dengan lebih lanjut lagi. Bagaimanakah penyelesaian mikro atau berkaitan individu ini? Jawapannya adalah menerusi kreativiti dan inovasi perancangan kewangan.
Apakah itu perancangan kewangan? Perancangan Kewangan adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh. Secara ringkasnya ia adalah ”personal corporate finance”. Ia merupakan suatu ilmu dan industri yang terpenting dalam kehidupan.
Rakyat Malaysia pada dasarnya masih tidak diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Benar, separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Nama-nama seperti Warren Buffet (pemilik AIG Group) orang kedua terkaya di dunia dan keluarga Waltons (asasnya pemilik Wal-Mart)di mana 4 orang ahli kelurganya adalah antara 10 terkaya di dunia pada amnya adalah perancang kewangan yang boleh dijadikan contoh. Tujuh aspek utama dalam perancangan kewangan adalah meliputi aliran tunai, perbankan, hartanah, saham/ekuiti, insurans, cukai dan peninggalan harta (estate planning).
Asas perancangan kewangan adalah simpanan. Dengan adanya simpanan, seseorang itu boleh membentuk “platform” dengan mudah. Bagaimanapun tidak semua orang mempunyai tabiat menyimpan yang baik. Oleh itu cara alternatif yang boleh digunakan adalah dengan meminjam. Dengan kecairan yang tinggi dan kadar faedah yang rendah sekarang ini, bank adalah opsyen yang mudah dan murah bagi membentuk “platform” atau dengan kata lain, modal, bagi memulakan langkah merancang kewangan. Penubuhan platfom (modal) merupakan tunggak kepada perancangan kewangan yang menyeluruh.
Bagaimanapun, untuk menubuhkan sebuah platfom yang baik menerusi meminjam (leveraging) seseorang itu perlu mengetahui beberapa prinsip asas pengurusan kredit. Pada dasarnya platform boleh dibentuk daripada 3 sumber pendapatan, samada menerusi simpanan sendiri (tunai), pemberian (pinjaman) keluarga dan cara kebiasaan yang ramai menggunakannya yakni menerusi pinjaman daripada institusi kewangan. Manakala melalui pinjaman ini pula, individu boleh memperolehinya menerusi 3 cara juga iaitu, pinjaman peribadi, overdraf (tanpa cagaran) dan pinjaman tetap(kebiasaannya pinjaman perumahan).
Bagi individu yang ingin membina paltfom melalui cara meminjam (leveraging) ini, mereka harus memahami pengiraan kadar faedah. Sesebuah pinjaman itu terbahagi kepada 2 yang merangkumi pokok (prinsipal) dan faedah (interest). Pokok harus dibayar, tiada cara lain. Tetapi faedah boleh dielak sekiranya kita mengetahui cara pengiraannya. Terdapat 4 jenis pengiraan faedah iaitu, kadar tetap(flat rate), kebiasaannya untuk pembelian kereta atau pinjaman peribadi, kadar tahunan (yearly rests), kadar ini digunakan untuk sesetengah pembelian konsumer, kadar bulanan (monthly rests) untuk pembelian rumah(pinjaman perumahan kerajaan dan swasta) dan kadar harian (daily rests) yang digunakan untuk kemudahan overdraf dan sesetengah pinjaman perumahan swasta. Kadar faedah yang menguntungkan kita adalah kadar harian (daily rests). Ini adalah kiranya kadar sebenar (effective rate) untuk pengiraan kadar harian adalah yang paling murah.
Bagaimanpun sebelum seseorang itu meminjam persoalan pertama yang harus dijawab adalah bagaimana hendak membayarnya? Menerusi kreativiti perancangan kewangan, modal menerusi pinjaman untuk pembentukan platfom terlebih dahulu dilaburkan ke dalam alat pelaburan yang memberi pulangan serta boleh disandarkan untuk mendapatkan kemudahan overdraf. Dengan cara ini, pulangan menerusi pelaburan dengan hanya pulangan (anggaran) 8% setahun dikompaunkan untuk 8 tahun, cukup untuk membayar pinjaman tanpa perlu membayarnya. Kemudahan Overdraf boleh digunakan sebagai platfom.
Setelah pembentukan platfom (modal) ini, seseorang itu boleh melaksanakan perkara-perkara seperti berikut:-
- Menyelesai/mengurangkan hutang
- Untuk memenuhi keperluan tuntutan semasa.
- Penyediaan tabungan kecemasan
- Keperluan pendidikan anak-anak.
- Melawan kenaikan harga/inflasi.
- Penyediaan menghadapi persaraan.
Adalah salah jika anda diberitahu bahawa berhutang itu bagus. Hidup akan lebih bermakna dan mudah jika kita tiada bebanan hutang. Bagaimanapun masalahnya adalah mampukah kita membayar pembelian kita seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain perbelanjaan yang mahal dengan tunai? Perancangan kewangan yang berjaya akan membolehkan kita melabur dan merancang tanggungan hutang kita dengan sempurna. Hasilnya nanti akan membolehkan kita membentuk kekayaan. Bagaimanapun ramai antara kita gagal mengumpul kekayaan disebabkan oleh masalah hutang. Dalam budaya meminjam khususnya di kalangan masyarakat Melayu di Malaysia ini, jika boleh mereka tidak mahu meminjam, jika meminjam pula mereka tak mahu bayar. Ini merupakan satu sikap yang salah. Sepatutnya kita harus mempunyai sikap, jika perlu berhutang, hutang harus diselesaikan dengan segera. Kegagalan memenuhi faktor ini dan mengurus hutang dengan baik telah menyebabkan ramai orang tersungkur sebelum sempat memulakan langkah pertama membina kekayaan. Kebebasan kewangan pada asasnya adalah bebas daripada hutang.
Sunday, December 24, 2006
| [+/-] |
TIGA KATEGORI PERANCANG KEWANGAN |
A. Penyelesaian Tunggal (Single Solution)
Ini merujuk kepada mereka yang menyelesaikan cuma satu masalah kewangan yang di hadapi oleh pelanggan. Biasanya jalan penyelesaian ialah dengan menawarkan satu produk kewangan contohnya :-
1. Seorang pegawai bank yang membuka akaun pinjaman overdraft bagi pihak pelanggan.
2. Seorang broker saham yang mencadangkan pembelian saham.
3. Seorang perunding insuran yang menjual insuran perubatan kritikal.
B. Penyelesaian Pelbagai (Multiple Solution)
Perancang dalam kategori ini pula berpendapat bahawa setiap individu menghadapi 3 keperluan kewangan yang utama iaitu perancangan insuran, perancangan cukai dan pengurusan pelaburan. Oleh itu penyelesaian untuk pelanggan perlu memenuhi ketiga-tiga aspek di atas pada kadar yang berbeza. Contoh perancang sedemikian adalah:-
1.Seorang perunding insuran yang menjual semua bentuk insuran termasuk hayat perubatan dan am.
2.Seorang penasihat cukai yang membantu pelanggan dalam aspek percukaian individu dan perniagaan.
3Seorang penasihat pelaburan yang membantu memilih unit amanah yang sesuai serta merancang portfolio saham yang sesuai dengan toleransi pelanggan.
C. Penyelesaian Menyeluruh (Comprehensive Solution)
Kumpulan perancang ini berpegang pada falsafah yang sama dengan doktor perubatan. Menurut mereka perancangan kewangan mesti mengambil kira secara menyeluruh keseluruhan aspek keadaan pelanggan. Ini samalah seperti seorang doktor yang perlu mengetahui semua maklumat penting pesakit sebelum membuat kesimpulan (diagnosis). Perancang kewangan sedemikian biasanya menggunakan khidmat pasukan penasihat lain sebelum mengubal satu pelan menyeluruh yang mengambilkira aspek kewangan pelanggan. Pelan ini akan di awasi dan di kemas kini dari masa kesemasa sehingga matlamat pelanggan tercapai.